Friday, May 22, 2009

"CINTA"


“Cinta”, inilah lima huruf yang memukul kita dengan jutaan maksud dan definasinya. Realitinya setiap hari kita bangun ia datang pula dengan maksud yang baru lagi. Mungkin beginilah keadaannya bila kita berada di akhir zaman informasi ini, semuanya ada di depan mata, tidak cukup dengan itu semua yang disuap ini kita telan bulat- bulat, yang kita hidu hanyalah wanginya, yang kita lihat hanyalah cantiknya dan yang kita faham hanyalah bahasanya. Penat rasanya bila terfikir ‘Apa itu Cinta?’, habislah segala buku- buku di belek, segala ruang majalah di selak menjadi rujukan. Pernahkah kita terfikir siapa yang menentukan maksud dan pengertian cinta itu? Adakah si penulis itu hanya menulis berdasarkan pengalamannya? Jadi itu pandangan mereka, bagaimana dengan pandangan kita? Sedar ataupun tidak kita terperangkap dengan keadaan dimana erti cinta itu telah sering dimanipulasi media dan mereka yang inginkan keuntungan dari pandangan mereka. Adakah cinta itu telah jadi bahan komersil? Fikirkanlah sebentar. Sekiranya kita terbaca tentang maksud cinta di mana- mana, pernahkah kita persoalkan siapa penulisnya, apa pendidikannya dan apa pengalamannya terhadap cinta? Tentulah tidak mungkin, siapalah yang sebijak itu untuk mempersoalkan maklumat agung yang bertulis di atas batu keramat yang bernama buku, walaupun kadang- kadang ia hanyalah berharga 3.50 sen. Ini bukan kisah kelakar atau lawak jenaka, namun saya di sini bercerita pasal realiti. Fikirkanlah inikah jawapan yang kita perlukan untuk persoalan kita tadi. Kenapa kita tidak kembali sahaja kepada sumber ceritanya? Apa yang pelik sangat dengan 5 huruf ini dalam melayunya dan 4 huruf bila dibaratkan? Bolehkah cinta itu dilihat?, bolehkah ia disentuh?, dibelai- belai? Untuk berada di tahap ini, kita perlu bersikap rasional dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Adalah amat penting untuk kita merasa diri ini kosong sebenarnya. Kembali menjadi bayi yang serba tidak tahu dan selalu bertanya- tanya. Andainya anda sudah bersedia, teruskan pembacaan ini. Sekiranya belum, berpatahlah balik pada perenggan pertama. Terima kasih.

Pejamkanlah mata seketika, celikkan mata dan lihatlah pada tangan kita, berdiri atau duduknya kita hanyalah seorang manusia yang boleh dilihat dan disentuh hanya pada jasad. Inilah hakikatnya kejadian seorang manusia itu. Bagaimana dengan cinta? Cinta hanyalah bilangan perasaan yang terkumpul untuk kita istiharkan bahawa itulah cinta. Bolehkah ini diterima? Bagaimana pula perasaan itu boleh dibilang? Inilah penjelasannya, cinta itu hanyalah pengesahan yang dibuat oleh kita dengan berhakimkan memori dan bersaksikan segala deria kita. Setiap detik kita ditemani oleh 5 deria kita, semenjak kita melihat dunia ini lagi, deria inilah aksesori atau gadget kita untuk merasa diri ini berfungsi atau dipanggil normal. Terdapat satu tahap dimana setiap deria ini mencapai klimaks dan limitnya, iaitu tahap beremosi (perasaan). Sedih ataupun gembira ini disimpan dalam bank data kita yang dipanggil memori. Di sinilah emosi atau perasaan itu dibilang. Rasa cinta ini kita sahkan dengan bilangan memori gembira paling banyak yang dicetuskan oleh sesuatu itu. Sebagai contoh, kita memilih kekasih kita mestilah seseorang yang paling banyak menggembirakan kita. Malahan kita mengesahkan cinta terhadap ibu bapa kerana bilangan memori indah yang tidak terbilang banyaknya terhadap mereka dan ini juga berlaku sebaliknya, seandainya kita mengesahkan benci terhadap mereka. Sesampainya kita di tahap ini, jadi apa pula bezanya cinta dengan suka? Suka merupakan kadar pertengahan berbanding cinta sebagai klimaksnya. Sekiranya kita sukakan kuih donut kita akan gembira memakannya tapi bukanlah sebagi makanan setiap hari seperti kita cintakan gula- gula. Disini dapat dikenal pasti bahawa cinta ataupun suka ini hanyalah kehendak atau pengesahan kita semata- mata, dan ini berbeza dengan keperluan atau hak yang dipanggil tanggungjawab. Kenapa kita makan nasi setiap hari sedangkan kita tidak cintakan nasi? Anda pasti ada jawapannya. Jadi bagaimana pula cinta ini bole jadi keperluan?, atau mungkin tanggungjawab? Disini sekali lagi kita besarkan pemikiran ini, “cinta bukanlah akad nikah”. Inilah hakikat yang paling penting dalam penulisan ini. Seperti yang kita fahami semula tadi samaada kita sedar ataupun tidak cinta hanyalah pengesahan terhadap sesuatu yang sah pada kita sahaja dan bukannya alam ini. Bila ia bermula pada dasar kita, ataupun aku (individu) maka berubah- ubahlah ia. Wajib ia akan berubah kerana ia sekadar kehendak. Pernahkah manusia puas pada keinginannya? Jelaslah jawapannya pada otak kita. Dengan kebolehan ini adakalanya cinta itu kukuh, adakalanya ia bulat, adakalanya ia goyang dan adakalanya ia putus. Dengan ini juga fahamlah kita bahawa tiada cinta yang sejati sebelum ia diakadkan. Persoalan lain, apabila aku katakan aku cintakan kamu (i love you) dan kau katakan cinta pada aku (i love you too), kenapa aku perlu ikut kata- kata kamu dan kenapa pula kau mesti turut kehendak aku? Sedangkan cinta itu zahirnya adalah abstrak. Tidak boleh dilihat, disentuh dan mustahil sekali cinta boleh dibelai. Bila kita menentukan limit terhadap jasad dan pelakuan adakah ini masih dipanggil cinta? Kita sedaya upaya menghadkan sebarang kemungkinan untuk mengatakan ini semua kerana cinta. Sekiranya kita benar- benar memahami apa itu cinta sebenarnya ia tidak ada kena- mengena langsung terhadap sifat material dan jasad kita sebagai manusia. Jadi sedihlah pada yang melihat hubungan jasad ini satu keperluan dalam cinta. Terang sekalilah golongan ini bukan memanifestasikan cinta tetapi hanya sekadar nafsu dan suka- suka sahaja. Sekarang tidak salah kalau dikatakan cinta itu suci dan murni. Adakah anda setuju? Terpulanglah pada kematangan kita untuk mengaplikasikan cinta dalam hidup ini.

Cintakan Allah SWT itulah cinta yang paling agung kerana cinta ini tidak datang dengan bilangan perasaan tapi datang dengan iman yang kukuh dan keikhlasan terhadap kekuasaan-Nya menciptakan alam dan deria ini untuk kita hidup merasa segala- galanya. Alhamdulillah.

Saturday, May 16, 2009

Apa yang penting?


Semasa dalam proses pendidikan dalam seni ini pernahkah kita bertanya atau terlintas di fikiran, apakah sebenarnya pekara penting yang perlu difikirkan sebagai seorang pelajar seni tampak atau seni visual dalam menghasilkan sebuah catan, arca, cetakan ataupun apa shaja objek seni? Mesej, imej, teknik (skil), sejarah, tradisi, aturan(sistem) ataupun isu? Pada pandangan saya, sesetengah pekara ini mungkin ada kepentinganya. Dalam konteks pendidikan atau pembelajaran semua perkara ini penting tetapi kepentinganya mestilah mengikut sistem dan konsep tertentu. Dalam hal ini perkara yang paling asas yang sangat penting adalah hukum, aturan atau konsep dan sejarah. Kemudian barulah kepada teknik, imej serta isu dan mesejnya. Sejarah berkepentingan dalan konteks menentukan bahawa kejadian sesuatu karya seni itu adalah berlandaskan fakta (perbandingan). Aturan , sistem, hukum atau konsep akan menentukan nilai catan yang dicadangkan itu. Skil ataupun teknik itu adalah hak milik individu, perbezaanya hanya berlaku antara individu dan skil atau teknik ini sifatnya boleh di asuh dan dilatih dan ia sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan dan pengalaman seseorang manusia itu. Seseorang yang tidak memiliki skil ini boleh melibatkan dalam bidang seni visual ini dengan mengantikan skil atau teknik itu dengan idea dan pemikirannya. Jesteru itu bakat bukanlah penghalang terhadap pemahaman dan penyampaian sesebuah hasil aestetik itu yang dipanggil seni. Imej dan mesej ini tidak begitu penting dalam catan kerana sifatnya yang bole berubah- ubah mengikut keadaan dan seakan- akan ia menjadi mitos atau rekaan yang cuba disahkan oleh pengkaryanya. Imej dan mesej ataupun isu dalam sesebuah karya seni itu hanyalah bertindak sebagai pembantu yang menyokong kejadian catan serta idea yang hendak disampaikan. Bukankah ini lebih baik dari kita mereka- reka sesuatu yang bersifat lentur dan sering mengelirukan orang lain. Jadi sekiranya itu memang kegemaran kita, ia tidak salah mahupun berdosa tetapi jangan pula kita menunding jari pada komuniti seni ini sekiranya ada suara- suara sumbang dan ada kalanya merdu yang menyanyikan bahawa kamu seorang penipu atau buta seni. Terpulanglah pada pengkarya itu sendiri, ruang sentiasa terbuka, ilmu berada dimana- mana sahaja, namun bukanlah bermaksud ilmu itu murah, ia murah pada harganya tapi mahal pada kefahamanya. Jangan bila kita tidak memahami sesuatu itu kita menolaknya, kita menabur fitnah dengan dogengan kita...tetapi belajarlah...belajarlah wahai manusia yang diberikan fikiran dan lidah yang mampu menyebut.

Sunday, February 15, 2009

"Mudah"


Apakah perasaan anda pulang ke rumah dengan sebuah televisyen baru? Dengan memandu kereta baru? Sepasang kasut baru di dalam almari ?

Jawapannya tentulah kita akan gembira, suka dan teruja. Tetapi, melihat kepada rakan-rakan dan diri sendiri barulah saya sedar bahawa setiap yang baru itu dengan cepat akan menambah satu lagi benda dalam hidup saya. Kegembiraan terhadap istilah ‘baru’ tadi akan cepat hilang tanpa kita sedari. Jika kita seorang yang kaya dan hidup senang, kita akan sentiasa menambah dan terus menambah benda ataupun aset dalam rumah kita dan selepas itu kita jadikan rumah ini sebagai harta yang kita boleh banggakan dan berpuas-hati seolah-olah kita dah menangi permainan ‘hidup’ di dunia ni.

Hidup dalam keluarga yang sarat, saya habiskan bertahun-tahun mengumpul bermacam-macam benda, pada masa ni saya seakan-akan tidak sedar telah mengumpul terlalu banyak material dalam hidup. Saya miliki benda-benda yang mahal, yang terbaru, saya habiskan banyak duit untuk baju dan apa juga benda yang boleh buatkan saya kelihatan hebat. Bagi saya semua ini memberi gambaran identiti diri saya. Jika dibuang semua ini tanpa berhati-hati, ego saya akan terjejas. Semakin lama memahami definasi diri sendiri, saya rasa lebih banyak kehilangan daripada semua benda yang pernah saya miliki.

Bukan sahaja tidak menemui diri sendiri dalam semua ni, malah saya rasa telah mensia-siakan ruang luar dan dalam hidup ini. Secara ironinya, setiap kebendaan sebenarnya telah mengkaburi kita dari kefahaman terhadap ruang dalam hidup kita.

Sebenarnya ada keindahan dalam kekurangan, tapi kita gagal untuk mengenalinya kerana ia tidak boleh dilihat menerusi material yang kita miliki. Apabila kita buka dan luaskan ruang fizikal di persekitaran kita lebih banyak perasaan aman dan tenang akan datang pada kita. Inilah prinsip di sebalik gaya rumah tradisional jepun, ia juga dikenali sebagai ruang “zen”. Keindahan dan kecantikan dalam ruang yang kecik itu adalah suatu apresiasi terhadap minimalisma, dimana yang kurang itu sentiasa cukup. Kita perlu faham bahawa sifat “ruang” itu adalah untuk di nikmati dan bukan semestinya untuk diisi.