Sunday, February 15, 2009

"Mudah"


Apakah perasaan anda pulang ke rumah dengan sebuah televisyen baru? Dengan memandu kereta baru? Sepasang kasut baru di dalam almari ?

Jawapannya tentulah kita akan gembira, suka dan teruja. Tetapi, melihat kepada rakan-rakan dan diri sendiri barulah saya sedar bahawa setiap yang baru itu dengan cepat akan menambah satu lagi benda dalam hidup saya. Kegembiraan terhadap istilah ‘baru’ tadi akan cepat hilang tanpa kita sedari. Jika kita seorang yang kaya dan hidup senang, kita akan sentiasa menambah dan terus menambah benda ataupun aset dalam rumah kita dan selepas itu kita jadikan rumah ini sebagai harta yang kita boleh banggakan dan berpuas-hati seolah-olah kita dah menangi permainan ‘hidup’ di dunia ni.

Hidup dalam keluarga yang sarat, saya habiskan bertahun-tahun mengumpul bermacam-macam benda, pada masa ni saya seakan-akan tidak sedar telah mengumpul terlalu banyak material dalam hidup. Saya miliki benda-benda yang mahal, yang terbaru, saya habiskan banyak duit untuk baju dan apa juga benda yang boleh buatkan saya kelihatan hebat. Bagi saya semua ini memberi gambaran identiti diri saya. Jika dibuang semua ini tanpa berhati-hati, ego saya akan terjejas. Semakin lama memahami definasi diri sendiri, saya rasa lebih banyak kehilangan daripada semua benda yang pernah saya miliki.

Bukan sahaja tidak menemui diri sendiri dalam semua ni, malah saya rasa telah mensia-siakan ruang luar dan dalam hidup ini. Secara ironinya, setiap kebendaan sebenarnya telah mengkaburi kita dari kefahaman terhadap ruang dalam hidup kita.

Sebenarnya ada keindahan dalam kekurangan, tapi kita gagal untuk mengenalinya kerana ia tidak boleh dilihat menerusi material yang kita miliki. Apabila kita buka dan luaskan ruang fizikal di persekitaran kita lebih banyak perasaan aman dan tenang akan datang pada kita. Inilah prinsip di sebalik gaya rumah tradisional jepun, ia juga dikenali sebagai ruang “zen”. Keindahan dan kecantikan dalam ruang yang kecik itu adalah suatu apresiasi terhadap minimalisma, dimana yang kurang itu sentiasa cukup. Kita perlu faham bahawa sifat “ruang” itu adalah untuk di nikmati dan bukan semestinya untuk diisi.