Friday, May 22, 2009

"CINTA"


“Cinta”, inilah lima huruf yang memukul kita dengan jutaan maksud dan definasinya. Realitinya setiap hari kita bangun ia datang pula dengan maksud yang baru lagi. Mungkin beginilah keadaannya bila kita berada di akhir zaman informasi ini, semuanya ada di depan mata, tidak cukup dengan itu semua yang disuap ini kita telan bulat- bulat, yang kita hidu hanyalah wanginya, yang kita lihat hanyalah cantiknya dan yang kita faham hanyalah bahasanya. Penat rasanya bila terfikir ‘Apa itu Cinta?’, habislah segala buku- buku di belek, segala ruang majalah di selak menjadi rujukan. Pernahkah kita terfikir siapa yang menentukan maksud dan pengertian cinta itu? Adakah si penulis itu hanya menulis berdasarkan pengalamannya? Jadi itu pandangan mereka, bagaimana dengan pandangan kita? Sedar ataupun tidak kita terperangkap dengan keadaan dimana erti cinta itu telah sering dimanipulasi media dan mereka yang inginkan keuntungan dari pandangan mereka. Adakah cinta itu telah jadi bahan komersil? Fikirkanlah sebentar. Sekiranya kita terbaca tentang maksud cinta di mana- mana, pernahkah kita persoalkan siapa penulisnya, apa pendidikannya dan apa pengalamannya terhadap cinta? Tentulah tidak mungkin, siapalah yang sebijak itu untuk mempersoalkan maklumat agung yang bertulis di atas batu keramat yang bernama buku, walaupun kadang- kadang ia hanyalah berharga 3.50 sen. Ini bukan kisah kelakar atau lawak jenaka, namun saya di sini bercerita pasal realiti. Fikirkanlah inikah jawapan yang kita perlukan untuk persoalan kita tadi. Kenapa kita tidak kembali sahaja kepada sumber ceritanya? Apa yang pelik sangat dengan 5 huruf ini dalam melayunya dan 4 huruf bila dibaratkan? Bolehkah cinta itu dilihat?, bolehkah ia disentuh?, dibelai- belai? Untuk berada di tahap ini, kita perlu bersikap rasional dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan. Adalah amat penting untuk kita merasa diri ini kosong sebenarnya. Kembali menjadi bayi yang serba tidak tahu dan selalu bertanya- tanya. Andainya anda sudah bersedia, teruskan pembacaan ini. Sekiranya belum, berpatahlah balik pada perenggan pertama. Terima kasih.

Pejamkanlah mata seketika, celikkan mata dan lihatlah pada tangan kita, berdiri atau duduknya kita hanyalah seorang manusia yang boleh dilihat dan disentuh hanya pada jasad. Inilah hakikatnya kejadian seorang manusia itu. Bagaimana dengan cinta? Cinta hanyalah bilangan perasaan yang terkumpul untuk kita istiharkan bahawa itulah cinta. Bolehkah ini diterima? Bagaimana pula perasaan itu boleh dibilang? Inilah penjelasannya, cinta itu hanyalah pengesahan yang dibuat oleh kita dengan berhakimkan memori dan bersaksikan segala deria kita. Setiap detik kita ditemani oleh 5 deria kita, semenjak kita melihat dunia ini lagi, deria inilah aksesori atau gadget kita untuk merasa diri ini berfungsi atau dipanggil normal. Terdapat satu tahap dimana setiap deria ini mencapai klimaks dan limitnya, iaitu tahap beremosi (perasaan). Sedih ataupun gembira ini disimpan dalam bank data kita yang dipanggil memori. Di sinilah emosi atau perasaan itu dibilang. Rasa cinta ini kita sahkan dengan bilangan memori gembira paling banyak yang dicetuskan oleh sesuatu itu. Sebagai contoh, kita memilih kekasih kita mestilah seseorang yang paling banyak menggembirakan kita. Malahan kita mengesahkan cinta terhadap ibu bapa kerana bilangan memori indah yang tidak terbilang banyaknya terhadap mereka dan ini juga berlaku sebaliknya, seandainya kita mengesahkan benci terhadap mereka. Sesampainya kita di tahap ini, jadi apa pula bezanya cinta dengan suka? Suka merupakan kadar pertengahan berbanding cinta sebagai klimaksnya. Sekiranya kita sukakan kuih donut kita akan gembira memakannya tapi bukanlah sebagi makanan setiap hari seperti kita cintakan gula- gula. Disini dapat dikenal pasti bahawa cinta ataupun suka ini hanyalah kehendak atau pengesahan kita semata- mata, dan ini berbeza dengan keperluan atau hak yang dipanggil tanggungjawab. Kenapa kita makan nasi setiap hari sedangkan kita tidak cintakan nasi? Anda pasti ada jawapannya. Jadi bagaimana pula cinta ini bole jadi keperluan?, atau mungkin tanggungjawab? Disini sekali lagi kita besarkan pemikiran ini, “cinta bukanlah akad nikah”. Inilah hakikat yang paling penting dalam penulisan ini. Seperti yang kita fahami semula tadi samaada kita sedar ataupun tidak cinta hanyalah pengesahan terhadap sesuatu yang sah pada kita sahaja dan bukannya alam ini. Bila ia bermula pada dasar kita, ataupun aku (individu) maka berubah- ubahlah ia. Wajib ia akan berubah kerana ia sekadar kehendak. Pernahkah manusia puas pada keinginannya? Jelaslah jawapannya pada otak kita. Dengan kebolehan ini adakalanya cinta itu kukuh, adakalanya ia bulat, adakalanya ia goyang dan adakalanya ia putus. Dengan ini juga fahamlah kita bahawa tiada cinta yang sejati sebelum ia diakadkan. Persoalan lain, apabila aku katakan aku cintakan kamu (i love you) dan kau katakan cinta pada aku (i love you too), kenapa aku perlu ikut kata- kata kamu dan kenapa pula kau mesti turut kehendak aku? Sedangkan cinta itu zahirnya adalah abstrak. Tidak boleh dilihat, disentuh dan mustahil sekali cinta boleh dibelai. Bila kita menentukan limit terhadap jasad dan pelakuan adakah ini masih dipanggil cinta? Kita sedaya upaya menghadkan sebarang kemungkinan untuk mengatakan ini semua kerana cinta. Sekiranya kita benar- benar memahami apa itu cinta sebenarnya ia tidak ada kena- mengena langsung terhadap sifat material dan jasad kita sebagai manusia. Jadi sedihlah pada yang melihat hubungan jasad ini satu keperluan dalam cinta. Terang sekalilah golongan ini bukan memanifestasikan cinta tetapi hanya sekadar nafsu dan suka- suka sahaja. Sekarang tidak salah kalau dikatakan cinta itu suci dan murni. Adakah anda setuju? Terpulanglah pada kematangan kita untuk mengaplikasikan cinta dalam hidup ini.

Cintakan Allah SWT itulah cinta yang paling agung kerana cinta ini tidak datang dengan bilangan perasaan tapi datang dengan iman yang kukuh dan keikhlasan terhadap kekuasaan-Nya menciptakan alam dan deria ini untuk kita hidup merasa segala- galanya. Alhamdulillah.

1 comment:

  1. errr...jangan kita menyalahgunakan cinta dengan perkara yang memusnahkan nikmat cinta tu..pergh!!! log on me..masterchefiwan.blogspot.com

    ReplyDelete